Friday, May 22, 2009

kecantikan bibir

Selain mata, bibir menjadi titik tumpu kecantikan wajah. Ulas menarik dan sihat itu sebenarnya menjadi tunjang kepada kecantikan seseorang. Biar mana moleknya teknik solekan, kesihatan yang terjejas boleh terlihat menerusi keadaan ulas bibir.

Sungguhpun begitu, bukan sesuatu yang mudah mendapatkan bibir sihat kerana musuh utamanya, ialah ia mudah tampak kering dan pecah kerana kurang minum air atau bahagian itu tidak mendapat penjagaan sewajarnya seperti pada bahagian wajah lain.

Kecantikan wajah boleh pudar sekelip mata seandainya bibir pecah, luka dan seterusnya menimbulkan rasa perit dan sakit. Sekiranya ia dibiarkan begitu saja, luka itu boleh menyebabkan jangkitan kuman pada kawasan sekitarnya dan amat menyakitkan.

Jurusolek profesional, StevenSunny, berkata bibir tidak sihat boleh menyebabkan solekan tidak cantik dan comot, malah dalam keadaan tertentu memakai gincu boleh menyebabkan rasa perit dan tidak selesa kepada wanita berkenaan.

Katanya, dari segi kesihatan, bibir tidak sihat berpunca daripada pelbagai sebab dan paling ketara sekiranya tidak menjaga pemakanan sihat dan kurang minum air.
PILIH sayur dan buah yang mengandungi vitamin C, B, E dan mineral untuk kesihatan bibir.

“Pada pandangan jurusolek, perhatian terhadap bibir tidak jauh berbeza daripada penjagaan wajah. Penggunaan salap bibir mengandungi pelindung mampu menghalangnya daripada sinar ultra lembayung (UV) yang boleh memudarkan. Sinar matahari adalah antara faktor penyebab keringnya bibir sehingga penggunaan tabir suria pada bibir menjadi penting.

“Justeru, penggunaan pelembap amat diperlukan agar kelembapan bibir tetap terjaga saat melakukan aktiviti seharian. Antara cara mendapatkan bibir sihat, gunakan gincu atau pengilat bibir diperkaya bahan pelembap atau vitamin. Perhatikan kandungan di dalamnya dan selalunya yang diperkaya dengan rumusan emolien dan bahan alam semula jadi lebih selamat dan tidak terlalu keras pada kulit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini mengenai kepentingan bibir sihat dan solekan kemas pada bibir.

Katanya, sekiranya anda jenis yang gemar melembapkan bibir dengan menjilat bibir, hentikan tabiat itu kerana dalam air liur terdapat kelenjar dan enzim yang menyebabkan iritasi pada bibir sehingga bibir akan menjadi semakin kering seterusnya berkeping-keping. Penggunaan air suam atau minum air melebihi lapan gelas sehari adalah jalan terbaik mengelakkan bibir daripada menjadi kering.

“Selain menggunakan pelembap bibir yang dijual, penggunaan madu sebagai pelembap semula jadi, dapat memberikan nutrisi pada bibir. Teknik mengurut bibir sambil menggunakan minyak zaitun dikatakan turut membantu. Selain itu urutan lembut membantu membantu peredaran darah pada bibir menjadi lancar sehingga bibir tetap sihat terpelihara,” katanya.

Sekiranya anda jenis yang gemar bersolek atau sekurang-kurangnya mengenakan gincu hampir setiap hari, pastikan anda membersihkan sisanya sebelum masuk tidur. Ia boleh dilakukan dengan pembersih dan menyental dalam gerakan membulat pada bahagian itu selama beberapa minit. Sekiranya kerap dilakukan, anda akan dapati keadaan bibir lebih cantik dan lembut.

Tidak dinafikan pengambilan pemakanan yang tinggi khasiat dan vitamin membantu mendapat bibir impian. Pilih sayur dan buah yang mengandung vitamin C, B, E dan mineral. Kadar air yang terdapat pada bibir juga membantu tubuh terhindar daripada dehidrasi.

Musuh kepada kecantikan antara lain ialah rokok dan minum beralkohol. Bahan kimia yang ada pada rokok dapat menyebabkan warna hitam pada bibir sedangkan alkohol dapat membuat dehidrasi yang mengakibatkan bibir menjadi kering.

Dengan mengetahui penyebab masalah bibir kering dan pecah-pecah serta bagaimana cara pencegahannya, tentu anda akan lebih memperhatikan bibir menawan, malah wajah cantik mempesona akan menjadi milik anda.

Punca kecantikan bibir pudar:

# Udara kotor dan berdebu.

# Perubahan suhu melampau seperti terlalu sejuk atau panas boleh menyebabkan bibir pecah.

# Merokok, banyak pengambilan kopi dan alkohol.

# Tidak banyak minum air.

# Tabiat menjilat bibir.


Rahsia bibir sihat

Beberapa langkah mudah mendapat bibir sihat dan cantik:

Langkah 1:

Rahsia bibir cantik ialah kekalkan kesihatan, dan kelembutannya walaupun anda bukan wanita yang gemar bersolek. Lembabkan bahagian berkenaan dan lindungi ia dengan salap bibir sekerap mungkin khususnya sebelum masuk ke kamar. Malah amalan menggosok bibir menggunakan berus gigi sebelum tidur (gosok dengan lembut) dikatakan mampu menanggalkan sel mati.

Langkah 2:

Memastikan solekan bibir lebih cantik dan gincu bertahan lebih lama, ratakan sedikit penyamar noda atau bedak asas supaya mudah membentuk bibir dikehendaki menggunakan penggaris bibir, selain menutup cela yang wujud di kawasan sekitar.

Langkah 3:

Penggunaan penggaris bibir mungkin dianggap remeh, tetapi perlu bagi individu memiliki banyak rona untuk disamakan dengan rona gincu. Sekiranya dibandingkan dengan gincu, penggaris mampu bertahan lebih lama, malah untuk memastikan solekan bahagian berkenaan lebih lama, ratakan keseluruhan bibir dengan penggaris sebelum dibalas gincu.

Langkah 4:

Pilih gincu sesuai dengan wajah dan kulit anda. Sekiranya rona merah jambu menampakkan gigi lebih kuning, tukar warnanya kepada rona yang lebih redup. Mencampurkan beberapa rona gincu juga mungkin idea baik, dari membuang rona yang tidak sesuai itu.

Langkah 5:

Bagi mendapatkan sapuan lebih tahan lama, gunakan berus. Mendapatkan ilusi bibir mungil pula, sapukan sedikit pengilat bibir pada bahagian tengah bibir atas dan bawah.


 0 Comments:

Post a Comment

<< Home